26 March 2012

Roti Planta

[Kredit]

Di suatu hari yang nyaman lagi menyenangkan, tiba-tiba Markonah Abu kepingin benar nak makan roti planta rangup dan garing-garing yang sungguh lemak berkrim. Kempunan. Ala-ala orang mengandung katanya. Eh.

Lantas dia terus menelefon rakan baiknya, Zaiton Kilimanjaro untuk datang ke rumahnya, mengajar cara-cara untuk membuat roti planta yang terbaik dari ladang. Dia tahu yang di seluruh galaksi bimasakti ni, hanya Zaiton Kilimanjaro sahajalah yang benar-benar kenal dan faham dengan selera buasnya. Tambahan pula, Zaiton Kilimanjaro memang terkenal di kampung tempat tinggal mereka, Kampung Tikus Belanda, sebagai seorang tukang masak yang sangat hebat lagi bergaya. Malah baru-baru ini, Zaiton Kilimanjaro berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Chef Besi peringkat tanah jajahan Bachok buat kali kelima berturut-turut. 

Maka dengan penuh bersemangat sambil hidung kembang-kempis, Zaiton Kilimanjaro pon datanglah ke rumah Markonah Abu, siap dengan bahan-bahan untuk menghasilkan roti planta yang paling hebat dan mantap; tidak ada lagi sesiapa pon di dunia ini yang sebegitu komited dan seriyes. Markonah Abu menyambut ketibaan Zaiton Kilimanjaro dengan mata yang bersinar-sinar, sambil senyuman yang meleret hingga ke keningnya yang tebal itu. Sudah terbayang-bayang yang tidak lama lagi, dia bakal menikmati roti planta yang sungguh rangup lagi lazat mengalirkan air liur. Nyam nyam.

"Eh Ton, aku nak Roti Planta resipi Chef Ismail tau..? Tak nak resipi Chef Wan ke, Masterchef ke, apa-apa ke. Nak Chef Ismail jugak..! Okaayyyhhh??" Pinta Markonah Abu dengan penuh pengharapan.

"Berehhh boh!" Jawab Zaiton Kilimanjaro dengan penuh keyakinan tahap Otromen Taro yang bakal mengalahkan raksasa gorgon.

Roti planta Chef Ismail..? Zaiton Kilimanjaro cuba untuk mengingati kembali bagaimana mahu menghasilkan roti planta cara Chef Ismail. Di dalam kepalanya, ada sejuta satu jenis resipi. Bukan resipi roti planta sahaja; resipi ayam mawar kembang semangkuk, ikan bilis masam manis, landak goreng bercili, belalang percik dan entah apa-apa resipi yang eksotik lagi pelik-pelik yang tersimpan rapi di dalam kepalanya.

Kemudian dia tersenyum. Bangga. Roti planta Chef Ismail..? Alah, sepotong kek sahaja! 

Dengan lagak seorang chefnya, dia pantas menyarungkan apron yang dihadiahkan oleh mak saudara sebelah kakak angkat adik tiri kepada bakal abang iparnya. Dia terus menyambar sebungkus roti cap Gardenia, dengan cekap mengeluarkannya pula dengan penuh berhati-hati. Tiada ada sebutir habuk roti pon yang terbazir.

Lantas dia mengambil pula sebuku mentega yang sudah dicairkan terlebih dahulu. Dengan penuh bergaya tapi penuh teliti, disapukan mentega dengan penuh rapi di atas setiap kepingan roti. Tidak ada satu ruang pon pada permukaan roti yang tidak disapu dengan mentega cap Kincir Angin buatan Uganda itu. Selepas berpuas hati, dibiarkan kepingan roti yang sudah disapu dengan mentega itu tepat-tepat selama tujuh belas saat untuk mendapatkan tamparan angin segar. Seusai tempoh yang telah ditetapkan, dengan segera dia menyapu pula setiap kepingan roti tadi dengan satu lapisan setengah marjerin cap Planta (Dah nama roti Planta kan..? Takkan nak pakai marjerin cap Daisy pula..??) sehingga kekuning-kuningan emas semuanya. 

Dia tersenyum puas melihatkan hasil sapuan mantap mentega bersalut marjerin pada roti-rotinya. Terakhir, sebelum memasukkan roti-roti tadi ke dalam ketuhar bersuhu tepat lima puluh lapan darjah Celcius, dia merenjiskan setiap kepingan roti dengan susu kuda rendah lemak. Dia kemudian meletakkan kesemua roti yang sudah siap untuk dibakar di atas sebuah dulang aluminium yang telah siap disapu dengan minyak zaitun yang diimport khas dari Milan, Itali. 

Kesemua roti itu dibakar selama tujuh minit sepuluh saat, tidak kurang dan tidak lebih. Tatkala Zaiton Kilimanjaro sibuk menyiapkan hidangan istimewanya itu, Markonah Abu dihalang daripada mengganggu konsentrasinya. Memang itu sudah menjadi kebiasaan Zaiton Kilimanjaro setiap kali dia mahu menyediakan sesuatu yang hebat dan istimewa. Sepanjang tempoh itu, Markonah Abu resah-gelisah, tidak sabar-sabar mahu menikmati hidangan tandatangan rakan baiknya itu. 

Bau lemak manis mula keluar daripada ketuhar. Zaiton Kilimanjaro tersenyum bangga. Markonah Abu, walaupon terpaksa dikurung di ruang tamu, dapat juga menghidunya. Perutnya mula menyanyikan lagu "Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama.." sambil diselang-seli dengan bacaan solawat burdah. Eh. Kelenjar air liurnya mula merembeskan air dengan penuh rancak lagi gembira. Gulp. 

Tinnnggg!

Bunyi loceng ketuhar menandakan roti sudah siap dibakar. Zaiton Kilimanjaro dengan penuh cermat mengeluarkan dulang yang berisi roti yang sudah siap dibakar. Dia tersenyum lebar. Dia amat berpuas hati dengan hasil usaha gigihnya. Tidak sia-sia aku bertungkus-lumus berpeluh ketiak menghasilkannya!

"Marko, ooo Marko! Marilah! Roti planta kau dah siaaaaappp!"

Zaiton Kilimanjaro sudah boleh membayangkan sinar keterujaan yang bakal terpancar dari wajah Markonah Abu. Dia juga menjangkakan pastilah puji-pujian melambung tinggi ke langit akan dicurahkan kepadanya. Juga pastilah pada hujung minggu itu, Markonah Abu akan membelanjanya minum teh mutiara yang sungguh popular itu. Wah!

"Wahai! Aku dataaaannng niiiii...!" Laung Markonah Abu; tidak syak lagi tahap keterujaan Markonah Abu sudah mencapai tahap lapan perpuluhan tiga skala Ritcher. 

"Aku sayaaaanggg kau, Ton...! Kaulah yang pa...."

Markonah Abu terhenti di situ. Dia terkedu. Dipandang roti planta yang sudah dibakar rapi dan keemasan-emasan itu dengan pandangan tidak terpercaya. Zaiton Kilimanjaro hairan dan sedikit kaget melihatkan reaksi rakannya itu.

"Errr.. Kenapa kau ni Marko..? Makanlah! Ni aku buat spesel untuk kau ni! Bukan untuk kau renung dan tengok sahaja!" 

Markonah Abu memandang rakannya dengan penuh rasa tidak puas hati. Kelihatan matanya yang tadi bersinar-sinar kini bertukar menjadi mata seekor raksasa.

"Apa ni Ton..?? Aku mintak roti planta..! Ni bukan roti plantaaaa...!"

"Laaaah. Apa yang bukannya...? Ni roti plantalah ni! Kalau bukan roti planta, apa lagi namanya..??"

"Yelah. Memanglah roti planta.. Tapi bukan roti planta yang ni. Aku nak roti canai planta tu!"

"Ala. Sama je la. Dua-dua pon roti planta kan..? Dah dah, makan jelah. Penat tahu aku buat ni..??"

"Mana sama! Kan aku mintak roti planta Chef Ismail..?? Ni roti planta Chef Jamie Oliver! Lain! Tak sama...!" 

[Kredit]
-gabbana-

Sila jangan tanya saya apa maksud tersirat di sebalik kisah ini. Wahahahaha.. Moga terhibur!

12 Caci Maki Puji Muji:

Unknown 26/03/2012, 23:16  

maksudnya buat pape jangan mengharapkan pujian kot?

orgkuantang 26/03/2012, 23:20  

maksudnya IG kempunan makan roti planta di pagi hari minggu kah? senyum aman =)

Anonymous 27/03/2012, 00:51  

Mohon pencerahan kisah ini..tQ~

wwe tag team 27/03/2012, 03:22  

agaknya eton dan konah ni dah ting tong kot

patutnya konah ckp dgn terang nak roti canai planta..mengada2 je

eton lain kali jgn nak harap pujian sgt itu dah mcm x ikhlas kan

ps:kalo sy jadi eton dah lama sumbatkan je roti tu dlm mulut konah.

Ikasaharman 27/03/2012, 09:57  

mungkin maksudnya
kalau kita tak tau, ckp jelah tak tau
walaupun ilmu kita banyak tp tak semestinya Allah beri semua ilmu Nya

AB=) 27/03/2012, 13:57  

owh,bru tahu Ton duk kat bachok..blh mntak Ton buatkan roti planta jgak,hehe

Anonymous 28/03/2012, 04:51  

err..
saya rasa la kan, kesimpulannya adalah,
(1) ada banyak definisi untuk satu perkara/benda. tak semua yang kita tahu, sama dengan apa yang orang lain tahu walau perkataannya sama.
(2) kadang2 kita hanya tahu meminta dan berharap untuk orang lain penuhi kebutuhan kita, tapi bila tak sampai expectation kita, kita senang2 je nak salahkan orang tu tanpa melihat pun effort yang telah dicurahkan.
(3) mmg lain roti planta chef ismail dan jamie oliver. woah!

wallahua'lam.

Anonymous 28/03/2012, 11:41  

roti planta kat kolej maha busy pon sedappp...

ok,

1] lain kali kene dapat gambaran yg jelas dgn apa yg kita nk bg. jgn over excited bajet dah tau sume bende. nn ti tak tercapai hadaf dan terbagi bende lain.

Anonymous 28/03/2012, 20:47  

Sedikit itu istimewa.

Pengajaran yg sy dpt?.

1. En gabbana kekeringan idea. Xpe, blh cuba lg.mungkin kena pg ke luar negara, hirup udara berbeza agr idea bisa bercambah girang.
2. Hidup berdasarkan definisi yg selalunya dikamuskan melalui pengalaman. Mungkin watak markonah melalui hidup yg berbeza dgn zaiton. Zaiton yg sudah lama berkecimpung dlm dunia masakan seolahnya seperti dpt meneka kemahuan markonah.tp,ternyata dia gagal.rasa2 yg yakin tp salah ini seharusnya diambil pengajaran buat experts dan org lama krn masa bisa membezakan definisi. Kaca mata yg berbeza menghasilkan kepuasan/hasil yg berbeza wlpn keduanya mmg gerenti sedap. Mungkin sudah tiba masanya kita berkaca mata merah pula setelah lama berkaca mata hitam.
3.perkara simple seperti terliurkan roti planta blh jadi bhn cereka yg menarik.lebih menarik jika pengajarannya sebenarnya takde kena mengena Langsung dgn roti planta itu.

Terima kasih en gabbana atas cerita yg pening2 tp mmg sedap ini. Owh, sy suka roti planta campur gula sedikit!

Nur 29/03/2012, 15:56  

bila kita da membygkn yg best2 tntg islam tetiba islam yg org islam tnjukkan jauh dari sangkaan kita.. mesti rasa kecewa~

Hamdi Ibrahim 26/04/2012, 17:12  

you know whats funny, IG?

saya baru sahaja nak post tajuk yang sama pada blog saya. ceit IG, nampaknya takdir dah berlaku, anda mendahului saya! hahaha

pengajaran Roti Planta? setiap orang ada persepsi/definisi berbeza atas sesuatu perkara, walaupun nama/brandnya sama.

ambil contoh Dakwah dan tarbiyah. ramai cakap dia pun melakukan DnT tapi bila dilihat, mungkin agak sedikit berbeza. kerana pandangan dan persepsi orang berbeza kerana beza guru atau sudut pangan beza.

apapun, yang penting, asalkan Dakwah itu menyeru kepada Allah dan Islam tak kiralah bentuknya macam mana.

seperti mana roti planta, apa pun rupa dan tampaknya, asalkan kenyang dan best, sudeyy. :)

Dr. A 24/09/2012, 05:22  

yes, apa yang saya nampak lak bila i.gabbana kata jangan tanya apa maksud tersirat disebalik cerita ramai la yang tak tanya sebaliknya memberi pendapat dan secara tak langsung mengeluarkan ibrah mengikut persepsi masing2..

kadang2 penulis nak juga ibrah tu datang dari pembaca tak bukan penulis je yang asyik memberi..^^

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP