11 March 2012

Sila Telan Walaupon Rasanya Tidaklah Selazat Udang Goreng Tepung

[Kredit]

Sekiranya Islam itu adalah suatu keajaiban... Seandainya Islam itu adalah cara hidup yang magis lagi memudahkan... Dan jika melaksanakan Islam itu adalah semudah duduk di sofa urut cap Osim sambil merendam kaki di dalam besen berisi air panas, sudah pasti kini seluruh dunia dan isinya tunduk dan patuh pada yang Esa. Sudah pastilah untuk mengajak orang kepada Islam adalah semudah membaca beberapa bait mantera ajaib. Dan sudah tentulah tidak ada orang Islam yang ditindas, tiada pula yang menderita kebuluran mahupon ditimpa dengan pelbagai kesusahan dan keperitan.

Tetapi hakikatnya bukan begitu. Islam bukan agama ajaib. Bukan juga agama Doraemon, yang pantas menyelesaikan sesuatu masalah hanya dengan menyeluk tangan ke dalam saku ajaibnya. Ia adalah cara hidup yang fitrah; diturunkan Allah Tuhan manusia, untuk manusia kerana sesuai dengan manhaj dan cara hidup manusia. Ia perlu digerakkan dan disebarkan oleh manusia. Ia perlu diusahakan dan diperjuangkan oleh manusia. Tanpa semua itu, Islam hanya kekal sebagai teks dan risalah kosong pada makalah-makalah kuning yang usang.

Sekiranya kemenangan itu semudah satu, dua dan tiga... Seandainya kemenangan itu boleh diperoleh hanya dengan kita duduk-duduk rilek dan lek-lek isap okok dulu *koff koff*... Dan jika kemenangan itu jatuh gedebup dari langit ke riba kita, sudah pastilah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dahulu tidak perlu melalui tiga belas tahun yang cukup sukar di Mekah. Sudah tentulah Nabi SAW dan para sahabat sudah boleh terbang di udara, mengeluarkan hikmat kamehameha dan pedang terbang ketika perang Badar. Juga sudah semestinya para salafus soleh tidak perlu bersungguh-sungguh, berjihad dan berkorban jiwa dan raga mereka.

Tetapi realitinya bukanlah semudah itu. Kemenangan itu tidak datang bergolek ibarat tenggiling hutan yang jatuh dari bukit yang tinggi di sebuah hutan belantara nun sana. Eh. Keberhasilan kemenangan itu datangnya daripada peluh dan darah para pejuang Islam yang beriltizam dengan jihad untuk menegakkan agama ini. Kemenangan itu hanya sahaja diperolehi apabila umat ini telah melalui kesusahan dan keperitan. Manisnya kemenangan itu hanya dapat dirasai dan dinikmati seusai merasai masin dan pahitnya erti pengorbanan dan perjuangan.

Sekiranya keimanan dan ketaqwaan itu mudah diperoleh ibarat membeli roti cap Gardenia di kedai-kedai runcit.. Seandainya keimanan dan ketaqwaan itu tidak perlu diburu, tidak perlu bersusah-payah untuk mendapatkannya... Dan jika keimanan dan ketaqwaan itu datang sebagai satu pakej kepada setiap insan yang bernama Muslim yang lahir ke dunia ini, maka tidak perlulah ar-Rasul SAW dan para sahabat bersusah-payah melalui jerih-perih berdakwah menyebarkan risalah Allah, hanya kerana mahu mengajak manusia dan seluruhnya kembali kepada Allah. Sudah tentulah tidak ada ayat-ayat Quran yang mengingatkan orang-orang beriman tentang azab seksa api neraka. Dan sudah pastinya kita tidak perlu saling mengingatkan antara satu lain kerana semuanya sudah beriman dan bertaqwa belaka!

Tetapi... Air mata mengalir laju. Keimanan dan ketaqwaan itu perlu dicari, diburu dan ditangkap sehingga dapat. Keimanan dan ketaqwaan itu ibaratnya adalah suatu piala agung yang perlu dimenangi; kita perlu bertanding, berkejar-kejaran dan berlumba-lumba untuk mendapatkannya! Tapi jangan khuatir, piala agung ini cukup untuk semua orang yang berjaya melepasi garisan penamat! Kemanisan dan kelazatan iman dan taqwa ini, hanya dapat difahami dan dinikmati oleh mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh dalam memburunya. Sorga sedang membuka pintu-pintunya untuk mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa; maka ia memerlukan kecekalan, kesabaran dan kesungguhan kerana sorga itu amat mahal harganya!

Sekiranya dakwah dan tarbiyah itu hanyalah suatu impian.. Seandainya dakwah dan tarbiyyah itu adalah suatu angan-angan... Dan jika dakwah dan tarbiyah hanyalah suatu hobi di masa lapang atau pekerjaan separuh masa, sudah pastilah kini kita sudah berada di puncak dunia. Sudah tentulah kita kini sedang memerintah dunia, menjadi pusat rujukan seluruh alam dalam setiap aspek dan perkara. Dan jika begitulah keadaannya, sudah tiba masanya kita duduk selesa sambil menikmati teh o' limau panas dan pisang goreng rangup kerana sambil berborak gembira bergelak tawa.

Tetapi anda semua, dakwah dan tarbiyah untuk membina individu-individu Muslim bagi mengembalikan kemuliaan Islam bukanlah suatu impian yang kosong. Dakwah dan tarbiyah untuk membentuk dan mewujudkan masyarakat rabbani yang taat sepenuhnya kepada Tuhan yang satu bukanlah suatu angan-angan di siang hari yang liar. Tetapi ia adalah suatu kenyataan, suatu impian agung yang perlu ditanam dan disemai dalam setiap jiwa insan yang ingin melihat kembali tertegaknya agama ini. Dan ia hanya boleh menjadi kenyataan apabila ummah ini benar-benar seriyes dan sanggup menanggung beban yang datang bersamanya. Ia adalah impian agung, seagung impian Umar al-Farouq yang mengimpikan rijal-rijal hebat seperti ABu 'Ubaidah al-Jarrah, Muadaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Huzaifah!

Dan ketahuilah, sekiranya membina ukhuwwah itu semudah menyusun lego mahupon batu-bata... Seandainya melahirkan ukhuwwah yang benar dan tulen itu tidak perlukan kepada pengorbanan dan kesabaran.. Dan jika mewujudkan ukhuwwah fillah abadan abadaa itu semudah mengukir senyuman mesra dan gelak tersipu-sipu malu sambil meminta izin untuk masuk ke dapur... Err.. Arakian aman damailah dunia dan seisinya ini. Tidak akan berlakulah cakar-mencakar, tikam-menikam dan serang-menyerang. Semua orang boleh duduk berbincang dengan penuh rasional tanpa emosi sambil bertepuk-tampar, riang gembira dengan setiap butir bual-bicara. Tidak perlulah pening-pening memikirkan program-program ukhuwwah mahupon aktiviti-aktiviti yang mendekatkan jurang antara dua insan yang bergelar manusia.

Tetapi, hakikatnya, meskipon ia pahit untuk ditelan, kita hanyalah makhluk yang bergelar manusia, yang punya ego, kelemahan dan perasaan. Bukan untuk menghalalkan atau meredhai masalah ukhuwwah yang ada, tetapi ia perlu disingkapi dengan memijak pada bumi yang nyata. Ia perlu ditekuni dengan kaca mata yang penuh rasional, bahawanya berlapang dada itu merupakan asas dalam ukhuwwah, dan ia juga perkara yang paling sukar untuk dilakukan. Maka ia memerlukan kesabaran dan keikhlasan dalam memintal tali-tali ukhuwwah yang menyambung hati-hati ini. Pada masa yang sama, ia tidak boleh sesekali dibiarkan begitu sahaja, kerana ukhuwwah itu adalah asas dalam dakwah ini. Benar, setiap mukmin itu adalah bersaudara; maka ayuh kita tingkatkan keimanan kita agar persaudaraan yang kita bina ini tidak lain hanya untuk mendambakan keredhaanNya!

Pahit..? Masin..? Sukar untuk anda menerima semua hakikat  ini..? Pejamkan mata anda, nganga mulut besar-besar dan kunyah sampai lumat.

Kerana ketahuilah, suka atau pon tidak, ia adalah hukum alam; sudah terbukti sejak dahulu lagi yang ia perlu dihadapi dan ditangani, dan bukannya lari menyelamatkan diri atau menyorok menyembunyikan diri. Ia suatu kenyataan yang perlu ditelan!

-gabbana-

2 Caci Maki Puji Muji:

Ckin Kembaq 12/03/2012, 09:36  

ada ujian, ada rintangan, tanda manusia diuji keimanan..

Anonymous 16/03/2012, 13:01  

BEING MURABBI
BEING DAIE
DO WE HAVE TO BE SUCH A PERFECT?
SOMETIMES IT IS HARD (39:53)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP