2 April 2014

Inche Faham Dan Puan Ikhlas

[Kredit]

[Nota: Hanya sesuai dibaca oleh anda dan anda dan anda juga yang sudah bersama-sama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah. Sebarang kejadian terjun gaung atau gila meroyan akibat keserabutan memahami mesej yang cuba disampaikan di dalam post ini, adalah di luar tanggungjawab saya. Sila jangan saman saya di mahkamah.]

Di dalam Risalah Ta'lim tulisan Imam Hassan al-Banna, buat pertama kalinya beliau menggariskan rukun taat setia (arkanul ba'iah) buat ahli-ahli ikhwanul muslimin yang ingin menggabungkan diri mereka bersama dengan jemaah Islam. Pastinya ia merupakan sesuatu yang amat signifikan, memandangkan risalah tersebut ditulis khas buat para mujahid dalam kalangan ikhwan.

Ada sepuluh rukun kesemuanya; faham, ikhlas, amal, jihad, tadhiyah (pengorbanan), taat, tsabat (teguh), tajarrud, ukhuwwah dan tsiqah (kepercayaan). Oh saya tidaklah berniat untuk menghuraikan rukun-rukun ini satu-persatu. Anda boleh singgah di mana-mana kedai buku haraki dan silalah beli senaskhah syarah Risalah Ta'lim dengan riang gembira sekali. Eheh. 

Yang ingin saya kongsikan dengan penuh keterujaan dengan anda semua adalah bagaimana Imam Hassan al-Banna meletakkan al-fahmu (faham) itu sebelum al-ikhlas. Benar, setiap rukun yang digariskan itu, tiada yang lebih utama daripada yang lainnya. Setiap rukun adalah penting dan kesemua rukun itu tidak boleh berdiri tanpa adanya salah satu daripada rukun tersebut. 

Namun rukun-rukun tersebut disusun mengikut prioriti pelaksanaannya. Maknanya, perlu ada faham sebelum ikhlas. Dan perlu ada faham dan ikhlas sebelum amal. Dengan kata lain, ikhlas adalah buah kepada faham, dan amal pula adalah buah kepada ikhlas. Oleh sebab itu rukun bai'ah ini perlu dilihat daripada pandangan mata seekor burung comel yang berterbangan riang di langit. Err. Atau mudahnya, dilihat dengan gambaran yang lebih besar (Baca: Big picture) dan bukannya secara juz'iyah (terpisah). 

Baiklah. Berbalik kepada perkongsian yang ingin saya ketengahkan, apa signifikannya faham itu diletakkan sebelum ikhlas? Bukankah kita perlu ikhlas dalam setiap amal dan perbuatan kita? Bukankah amal yang tidak ikhlas tidak mungkin akan diterima olehNya? 

Haah lah Inche gabbana. Bukan ke Imam Nawawi sendiri meletakkan hadith hijrah tu, sebagai hadith pertama dalam kitabnya Riyadhus Solihin? Bukankah itu bermakna keikhlasan itu merupakan perkara yang pertama-tama dan utama?

Amboihh skema noh hang. Wahahaha. 

Ijinkan saya untuk mencabar kebikjasanaan dan kematangan otak anda itu. Begini.

Fikirkan. Bukankah untuk memaknai keikhlasan yang diketengahkan dalam hadith itu, kita perlukan kefahaman terlebih dahulu? Bukankah kita perlu benar-benar jelas dan faham, apakah yang cuba hendak ditekankan di dalam hadith itu? Bukankah kita perlu dahulu perlu sekurang-kurangnya memiliki ilmu dan pengetahuan yang asas tentang keikhlasan - bagaimana mahu ikhlas, mengapa perlu ikhlas dan lain-lain - sebelum kita dapat menjiwai ruh keikhlasan itu? 

Nah, di sinilah datangnya peranan faham itu! 

Apa akibat apabila melakukan sesuatu amal ibadah tanpa ada kefahaman yang jelas? Meski hatinya sudah ikhlas pada peringkat langit kelapan?

Jadilah dia menunaikan solat Zuhur lima rakaat. Atau berpuasa makan tapi boleh minum. Atau wanita menjadi imam kepada lelaki. Atau baca Quran tapi masih mengumpat dan mengeji. Atau bayar zakat tapi masih beramal dengan riba'.

Adeh.

Sejarah juga telah mengajar kita, betapa keikhlasan tanpa kefahaman, hanya akan membuahkan kesesatan. Lihat sahaja puak khawarij yang muncul selepas kematian Saidina Uthman r.a.; ibadat mereka cukup mantap, begitu mantap sehingga disegani oleh para sahabat Rasulullah SAW. Namun mereka ini jugalah yang mengkafirkan para sahabat. Mereka ini juga yang membunuh Saidina 'Ali r.a.!

"Nanti akan muncul di antara umatku kaum yang membaca Al-Quran, bacaan kamu tidak ada nilainya dibandingkan bacaan mereka, dan solat kamu tidak ada nilainya dibandingkan solat mereka, dan puasa kamu tidak ada ertinya dibandingkan puasa mereka, mereka membaca Al-Quran sehingga kamu akan menyangka bahwasanya Quran itu milik mereka sahaja, padahal sebenarnya Quran itu akan melaknat mereka. Tidaklah solat mereka melalui kerongkongan mereka, mereka itu akan memecah agama Islam sebagaimana keluarnya anak panah daripada busurnya."

[Hadith riwayat Muslim]

Ketika kaum Khawarij Haruriyah memberontak kepada pemerintahan Ali bin Abi Thalib mereka mengatakan, “Tidak ada hukum kecuali milik Allah”. Maka Ali berkata, "Perkataan yang benar, namun yang diinginkan dengannya adalah kebatilan. Sesungguhnya Rasulullah pernah menjelaskan kepadaku tentang ciri-ciri sekelompok orang yang telah aku tahu sekarang bahwa ciri-ciri tersebut ada pada mereka (Khawarij), iaitu mereka mengucapkan perkataan yang benar hanya dengan lisan-lisan mereka, namun tidak melewati kerongkongan mereka."

[Hadith Riwayat Muslim]

Inilah akibat apabila sesuatu ilmu atau pengetahuan itu tidak didatangkan dengan kefahaman yang jelas dan sejahtera!
 

Mutaakhir ini kita melihat, masyarakat berbondong-bondong mahukan Islam. Slot-slot ceramah dan kuliyah agama di telebisen meningkat dengan mendadaknya. Permintaan untuk majlis-majlis ilmu baik di surau-surau atau masjid-masjid tidak putus-putus diterima oleh ostad dan ostajah yang punya tauliah untuk mengajar. Alhamdulillah, itu suatu perkembangan yang saya kira cukup-cukup baik dan memberansangkan. 

Namun begitu, menjadi kerisauan saya apabila keghairahan untuk beramal ini tidak disertakan dengan suatu proses tarbiyah yang benar-benar membentuk jiwa-jiwa manusia yang dahagakan ilmu ini. Menjadi kekhuatiran saya, akan berlaku proses Sentuh dan Kbaijalandulu (Baca: Touch and Go) secara pukal, di mana proses penerimaan ilmu itu berlaku satu hala sahaja, tanpa adanya usaha-usaha timbal balik (Baca: Check and balance) dalam memastikan ilmu itu membuahkan amal. 

Kerisauan saya ini ada asasnya. Ini bukan teori gila tak sedar diri dah nak mati. Eh. Simptom-simptomnya sudah semakin menular dalam kalangan masyarakat kini.

Budaya kafir-mengkafirkan sesama Muslim. Tabiat label-melabel semakin rancak berlaku. Upacara berjiddal (berdebat) yang langsung tidak membuahkan amal di Mukabuku dan laman-lama forum maya lain sudah menjadi seperti acara harian yang panas dan hangat, sehingga memerlukan sebungkus popkon panas perisa keju dan sebotol air berkarbonat manis sebagai peneman. Err. 

Baharu dengar ceramah Nouman Abu Khan di TiubAnda, sudah merasakan diri sehebat ulama' dahulu kala. Baharu mengikuti pengajian-pengajian ilmu di alam maya, sudah pandai melabel orang Salafi dan Wahhabi. Baharu menelaah kitab kuning semuka dua, sudah mahu memburuk-burukkan dan mengkafirkan 'alim ulama' zaman silam yang tidak sebulu dengan mereka.

Jadilah mereka ini golongan ostad dan ostajah segera; bebas dan pantas mengeluarkan fatwa dan hukuman berdasarkan ilmu yang tidak seberapa dan nafsu yang merbahaya. Geleng kepala.

Yang lebih menakutkan dan mengerikan adalah apabila golongan agamawan yang punya sijil sarjana dari institusi-institusi pengajian di Timur Tengah, turut terlibat sama di dalam kemungkaran ini. Mereka turut sama melompat masuk dan menyertai karnival dan pesta kejumudan ini, merancakkan lagi suasana. Akibatnya, masyarakat melihat ia sebagai isyarat lampu hijau, menghalalkan dan merestui perbuatan-perbuatan curang mereka. 

Apabila ditegur, dikatakan kita tidah hormat pada 'alim ulama'. Apabila dinasihati, dipersoalkan siapa kita untuk bersuara. Apabila dikritik, dikatakan kita tiada adab dan baik balik rumah tanam pokok kaktus dan jahit baju.

Akhi gabbana! Cubalah husnudzan sikit! Nta tu pon baru hingusan je lagi! Takyah nak tunjuk terer sangatlah! Ceh.

Lahawla wala quwwata illa billah.

Apa natijahnya apabila fenomena ini dibiarkan mengganas tanpa ada yang mahu mencegahnya? Masyarakat menjadi bosan dan rimas. Apatah lagi mereka ini berasa inferior dengan golongan agamawan segera tadi, yang kerjanya hanya mahu membantai dan melabel orang yang dirasakan mereka jahil dan punya ilmu yang cetek sahaja. Arakian sesetengah daripada mereka ini yang masih dahagakan ilmu dan laparkan sentuhan-sentuhan jiwa ini, mengambil jalan mudah dan pantas.

Bagaimana? Dengan menyertai pesta-pesta ibadah yang membasahkan jiwa. Dengan larut dalam majlis-majlis zikir dan qasidah yang menenangkan sukma. Ia merupakan eskapisme buat mereka ini, yang mahu lahir dari kacau-bilau dunia yang semakin mencengkam dan mencekik mereka. Ia adalah tindakan melarikan diri daripada hakikat sebenar yang memeningkan dan menyerabutkan mereka. 

Mudah. Pantas. Tidak perlu susah dan payah. 

Semuanya berpunca daripada kegagalan memahami makna ibadah yang sebenar. Gagal menanggapi hadith-hadith Nabi SAW dan seerah para sahabat secara adil dan saksama. Gagal melihat Islam sebagai sebuah sistem hidup yang bukan setakat syamil, malah kamil dan mutakkamil. 

Gagal memaknai erti ikhlas pada hakikatnya yang sebenar. Ikhlas tanpa faham.

Dan kitaran ini akan berterusan dan berterusan, sehinggalah munculnya suatu golongan yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mahu membetulkan keadaan masyarakat. Datangnya sekumpulan manusia yang sanggup menjual harta, tenaga dan jiwa mereka, kerana begitu sayang dan chentakan umat ini melebihi nyawa mereka dan keluarga sendiri. Wujudnya segerombolan tentera-tentera Allah yang akan terus bekerja dan bekerja, demi menegakkan al-Haq di muka bumi dan tidak mempedulikan kritikan, cacian dan ugutan masyarakat di sekeliling mereka.

Sehingga itu. Sehingga itu.

Tarik nafas. 

Gagal meletakkan al-fahmu sebagai asas dan pondasi dalam sesuatu tindakan juga merupakan suatu gejala yang amat amat merbahaya dalam tarbiyah dan dakwah. Kegagalan untuk mengenalpasti apakah prioriti amal, waqi' (keadaan/persekitaran) semasa, jalan amal (Baca: tariq amal) dan kaedah-kaedah dakwah (Baca: fiqh dakwah) yang bertepatan dengan keperluan semasa, menjadikan usaha-usaha tarbiyah dan dakwah itu banyak sekali kepincangannya dan besar sekali kelompongannya. 

Akibatnya usaha-usaha yang dilaburkan untuk mentarbiyah masyarakat menjadi sia-sia, kerana gagalnya memahami dan menjiwai sentuhan-sentuhan yang paling bertepatan dan diperlukan oleh massa ketika itu. 

Ya, inshaAllah amal-amal kita ikhlas belaka. Ya, inshaAllah amal-amal kita akan diterimaNya. Ya, inshaAllah ada dalil-dalil sahih untuk amal-amal kita itu. 

Namun ia akan terus menjadi suatu kitaran yang tidak akan mengubah apa-apa. Ia hanya akan memenuhkan masa-masa lapang kita, tanpa membawa apa-apa impak yang bukan sahaja akan mengubah masyarakan, malah menggugah dunia keseluruhannya.

"Tidak dinafikan bahawa faktor yang menjadikan mereka cenderung kepada pendekatan kebajikan itu adalah kerana hati-hati mereka yang lembut dan kepenuhan fitrah iman yang mereka miliki. Mereka sentiasa dihangatkan oleh nasihat demi nasihat tentang peri pentingnya erti kebaikan dan kemuliaan akhlak, mengobarkan semangat mereka untuk bekerjasama di dalam kerja-kerja memelihara anak-anak yatim, membangunkan sekolah dan masjid.

Demi Allah, ucapan para penasihat itu adalah benar belaka. Hadis-hadis fadhilat itu bukan dusta. Kita tidak pernah melupakan kesan dan pengaruhnya di dalam memajukan dakwah dengan tarbiyah secara praktikal yang memecahkan segala tabir. Melalui cara itu juga para da’i yang murabbi dapat berinteraksi dengan orang awam secara langsung setelah mereka tenggelam dalam pelbagai bidang kehidupan.

Tetapi dai'e mempunyai kerja yang lebih penting dan lebih besar dari itu semua. Dia wajib menutup lubang-lubang lemah pada umat ini yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain melainkan dia. Pahalanya tidak kurang dari pahala membuat kerja-kerja amal, jika tidak berganda-ganda pun."
- al-Muntalaq, Tansiq dan Syumul

Begitulah.

Tidak hairanlah, al-fahmu dalam agama ini merupaka anugerah teragung yang dikurniakan Allah kepada para hambaNya yang terpilih.


"Barangsiapa yang Allah hendakkan kebaikan padanya, Allah akan berikannya kefahaman dalam agama."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kerana Islam itu bukan sekadar ritual ibadah. Islam itu bukan sekadar mengaku Allah itu Tuhan dan memuji-muji dan bersolawat ke atas Nabi. Islam itu bukan sekadar tulisan-tulisan lama di dalam kitab-kitab kuning yang lapuk.

Islam itu bukan sekadar baca Quran di Masjid Besi sahaja tahu. Eh. [Kredit]

Islam itu adalah sistem. Ia adalah cara hidup. Ia adalah manhaj yang memegang dan mengawal keseluruhan hidup kita. 

Bukan. Saya bukanlah orang yang paling faham. Saya bukan juga orang yang paling berilmu dan paling hensem bergaya untuk menyampaikan perkongsian marhaen ini. Apatah lagi orang yang paling berpengalaman dalam tarbiyah dan dakwah. Astaghfirullah.

Namun itulah indahnya Islam. Itulah cantiknya tarbiyah. Itulah nikmatnya dakwah.

Sesiapa sahaja boleh berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran, selagi mana apa yang mahu disampaikannya itu adalah al-haq. Seorang jundiyy majhul (tentera yang tidak dikenali) itu bebas menegur jeneral dan kolonel pasukannya, selagi mana apa yang mahu disampaikannya itu adalah untuk kebaikan bersama dan menolak kemudharatan yang lebih besar.

Semoga usaha saya yang kecil ini dikira sebegitu rupa, biidznillah.

Ayuh saudara-saudaraku, kita ketepikan ego dan kepentingan kita. Kita buang jauh-jauh permusuhan dan persengketaan sesama kita yang mungkin ada. Kita hapuskan bisikan-bisikan jahat dan dzan-dzan mungkar yang cuba merosakkan tautan hati-hati kita.

Ayuh saudara-saudaraku, kita tingkatkan kefahaman kita dalam memahami manhaj yang agung ini. Kita tuntut ilmu sedalamnya dan setingginya sehinggalah kita mendapatkan fikrah yang tulen dan asli. Kita hayati fikrah Islam ini dengan sebaiknya dan beramal pula dengannya sesungguhnya, sehinggalah kita capai antara dua; hidup mulia atau mati syahid. 

Moga Allah pandu hati-hati kita. Moga Allah kuatkan semangat dan keteguhan kita. Dan moga Allah redha dengan sepanjang hayat kita bergelar seorang muslim ini!

"Katakanlah, 'Inilah jalanku; aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan daku tidak termasuk orang-orang musyrik.'"
[Yusuf, 12:108]

Apabila Inche Faham berkahwin mesra dengan Puan Ikhlas, nah, hasilnya sudah tentu si anak Amal yang bukan sahaja diterima olehNya, malah bermanfaat untuk ummah ini buat selamanya! Kan?

Senyum.

-gabbana-

10 Caci Maki Puji Muji:

D 02/04/2014, 17:04  

sungguh...ikhlas tanpa kefahaman akan melahirkan amal yang songsang, senget benget..
ramai yang berdegar-degar menyampaikan ilmu kerana merasakan sudah cukuo faham akan ilmu, tapi masih belum faham teknik penyampaian ilmu yang zuhud, lemah lembut dalam tegas dan kreatif.
bukan faham ilmu sahaja, perlu faham caranya dalam Islam~

Jus Kurma 02/04/2014, 23:28  

yezzah! baru ku tersadar sekarang. Amal tanpa Ikhlas = sia2
Ikhlas bersama Amal = pahala . tapi amalnya mungkin rapuh.
Ikhlas bersama Amal dan Faham apa yang diamal Hasilnya MANTOP !

Anonymous 02/04/2014, 23:46  

*jundiyy majhul

Anonymous 03/04/2014, 15:21  

baru lepas makan Falafel. Teringat nak menyinggah dan mengomen. Lupa nama. siap google dan salah. nampak sangat tak nge-fans blog ni :p
teruskan sentuh hati hati manusia dan teguran dan kisah dgn rendah hati. salut. tak mudah rupanya nak menulis 700 patah perkataan dengan ayat yang convincing.
Doakan saya maintain. AMIN.
Yang lain jemput singgah dan beri pandangan utk saya ;)

Anonymous 04/04/2014, 04:18  

jujur sy sedih dgn keadaan ini. para ilmuwan scr terbuka mencela 1 sama lain. sy duk pkir ap mslh utama mrk2 ni. masha Allah akh APG mengupas dgn baik sekali. moga2 mrk yg ikhlas krnNya mmpu mnerima teguran dr kita2 yg marhaen ni.

Anonymous 06/04/2014, 05:14  

"Barangsiapa yang Allah hendakkan kebaikan padanya, Allah akan berikannya kefahaman dalam agama."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Unknown 06/04/2014, 07:37  

Baru tersedar, sebelum nak ikhlas. Kena faham dulu. Kalau kita ikhlas dalam melakukan amal, tapi salah konsepnya, tak boleh go jugak. Therefore, sebagai pelajar, kita kena faham why we need to learn. Then, dari situ kita boleh jadi ikhlas :D syukran atas perkongsian yang bermanfaat. Teruskan berdakwah !

Anonymous 06/04/2014, 23:02  

nasihat yang sngat berguna.. n sesuai tuk diperatikkan ...

wafa' 10/04/2014, 22:26  

salam, IG.
then macam mana nak faham? kadangkadang rasa diri sendiri takde life bila pergi daurah-katibah-nadwah-bagai tapi ukhuwah pun slack.
macam. useless. apa effort yang boleh letak untuk capai tahap faham tu?

*peningpening*

Anonymous 17/05/2014, 00:23  

Ouhh kehhh. i do really need murobbi(s) . uhukk uhukk.
_ER_

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP