29 May 2015

Seorang Ukht Bernama Sakinah (Bahagian I)

[Kredit]
Langit pagi garang dengan warna ungu, merah dan biru pekatnya. Nun di ufuk timur, matahari sudah mula mahu bangkit dari lenanya yang panjang.

Ibu-ibu burung berkicau riang, tanda mereka penuh semangat mencari cacing seekor dua untuk diberi makan kepada anak-anak yang kelaparan di sarang. Makhluk tawakkal.

Sakinah menikmati suasana pagi yang nyaman itu sambil menyidai pakaian yang sudah siap dicuci. Dia berpuas hati apabila mendapati daki yang melekat pada kolar baju kemeja putih suaminya sudah berjaya ditanggalkan. Bukan dengan mesin basuh cap Elektrolak itu, tetapi dengan kudrat tangannya sendiri yang gigih menyental dan menggosok menggunakan berus baju plastik yang dibeli dari kedai Ah Meng.

Mulutnya terkumat-kamit membaca zikir-zikir maathurat. Itulah kebiasaannya setiap pagi dan petang. Suasana pagi yang benar-benar menenangkan menjadikan dia benar-benar dapat memaknai setiap bait zikir yang dibacanya. 

“Sesungguhnya kami terjaga di pagi hari dengan kesedaran bahawa Kerajaan (bumi dan segala isinya) ini seluruhnya adalah milik Allah. Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu baginya tiada Tuhan selain Dia dan kepada-Nya kami akan dibangkitkan.” 

Kedengaran gril besi pintu rumahnya terkuak. Sakinah tersenyum. Suaminya, Suhail, sudah bersedia untuk ke tempat kerja. 

“Abang dah makan roti ngan telur yang saya buat tu?” 

Sakinah bercakap tanpa memalingkan wajahnya. Macam sedang bercakap dengan baju kemeja suaminya pula. 

“Dah yang. Sedaaaapp!” 

Sakinah tertawa manja. 

“Eleh abang ni. Padahal roti sapu butter dengan telur hancur-hancur je pon. Tu karang sampai opis tu, mesti gi pekena nasi lemak pulak kan?” 

Tiba-tiba ada tangan yang merangkul pinggang Sakinah. 

“Kalau abang makan nasi lemak sambal kerang sekalipon, konfem takkan sesedap roti dan telur yang chenta hati abang buat!” 

Sakinah cepat-cepat menolak tangan Suhail. Perlahan dan manja. 

“Ish abang ni! Jiran nampak nanti!” 

Suhail tergelak melihat kecuakan Sakinah. Dia lantas membantu isterinya menyelesaikan jemuran. Usai semua pakaian disidai, dia menekan alat kawalan jauh Vios hitamnya, bersedia untuk ke kantor. 

“Abang balik tak malam ni? Ke terus pergi usrah?” 

Suhail memberikan senyuman penuh makna. 

“Eh mestilah balik. Wajib makan masakan Chef Sakinah sayang abang ni. Baru bertenaga dan semangat nak berusrah! Hehe.” 

Sakinah tersipu-sipu. Suhail memang pandai membodek. Dan Sakinah tidak pernah kisah.

Suhail menghulurkan tangannya pada Sakinah. Sakinah segera menyambutnya dan menciumnya dengan penuh rasa hormat dan kasih. Suhail membalasnya dengan menhadiahkan kucupan pada dahi isterinya. 

“Hati-hati bang. Jangan lupa baca doa perjalanan.”

“InshaAllah. Assalamu a’laikum sayang.”

“A’laikumussalam warah matullah.” 

Sakinah mengekor Vios hitam suaminya sehinggalah ia melepasi pintu pagar rumah teres setingkat yang disewa mereka. Matanya terus melirih pada kereta yang dipandu suaminya itu sehinggalah ia hilang dari pandangan. Sakinah segera menutup pintu pagar besi yang sudah buruk berkarat itu.

Sakinah tersenyum sendiri. Dia bahagia. Benar-benar bahagia.

Begitulah rutin kehidupan Sakinah hampir setiap hari selepas berkahwin dengan Suhail. Perkahwinan yang baru mencecah usia tujuh bulan.

Sebelum bernikah dengan Suhail, Sakinah tidak pernah ada hubungan dengan mana-mana lelaki ajnabi. Dibesarkan di dalam keluarga yang amat menitikberatkan soal agama, bercakap biasa-biasa dengan mana-mana budak lelaki pon sudah dikira sebagai jenayah besar. Apatah lagi berkapel bercanda mesra, konfem ayahnya akan mengejarnya dengan parang panjang warisan tujuh keturunan keliling taman perumahan. Eeeyy seram Sakinah apabila memikirkannya!

Kesemua tujuh orang anak-anak Tuan Haji Ismi dan Puan Hajah Safiyah berjaya dibesarkan dengan cemerlang sekali. Saufi, abang Sakinah yang sulung, seorang hafiz kini bertugas sebagai penasihat syariah di sebuah bank terulung di ibu negara. Abang keduanya, Safri, meskipon dahulu semasa di maahad tahfiz seorang yang nakal dan gila-gila menyebabkan dia gagal menghabiskan hafalannya, kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang doktor falsafah khusus pada pengkajian sejarah Islam.

Kakaknya yang ketiga, Sumayyah pula adalah seorang doktor perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Dahulu Sumayyah belajar perubatan di Mesir selepas mendapat kelulusan mumtaz dalam sijil tinggi agama. Yang keempat, abangnya Sobri adalah seorang editor dan kolumnis majalah agama yang tersohor, Muassis. Kadangkala Sobri membuat kerja-kerja freelance untuk stesen televisyen tempatan, Al-Ansar.

Yang kelima, Sakinah, bakal menjadi seorang ustazah selepas menamatkan Ijazah Sarjana di dalam pengajian Islam dari UKM. Yang kelima Solehah, seorang hafizah, sedang melanjutkan pelajaran di dalam bidang ekonomi di London School of Economics dan yang bongsu, Syurabil, masih lagi di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan.

Peh. Kiranya memang Islami habislah keluarga Tuan Haji Ismi dan Puan Hajjah Safiyah ni! Sejuk lah mata memandang. Sesiapa sahaja yang mengenali keluarga ini pasti akan berasa cemburu dengan produk-produk berjaya keluarga Tuan Haji Ismi. Bukan sekali dua kisah keluarga Tuan Haji Ismi dan Puan Hajjah Safiyah dimuatkan di majalah-majalah bertemakan Islam atau keluarga. Keluar rancangan televisyen pon pernah. Mujur tak keluar dalam Melodi sahaja.

Sakinah sudah mengenal tarbiyah sejak kecil lagi, sementelah kedua-dua orang tuanya juga aktif dalam gerakan tarbiyah dan dakwah. Keluarga ikhwah akhawatlah senang cakap. Perkataan tarbiyah dan dakwah pada Sakinah, ibaratnya seperti Marmite dan fish and chips pada Delilah di England sana. Wah!

Sakinah dipertemukan dengan Suhail melalui proses Baitul Muslim. Maknanya, Sakinah kena isi borang, diberi borang Suhail, setuju untuk taaruf, taaruf, istikharah kemudian buat keputusan sama ada mahu menjadi isteri Suhail atau tidak. Sakinah ada kebebasan itu. Dia tidak dipaksa. Tiada siapa yang mengugut Sakinah untuk bernikah dengan Suhail. Semuanya terletak pada tangan Sakinah, dengan taufik dan hidayah dari Allah.

Sakinah rasa sejahtera ketika membuat keputusan untuk bersetuju menjadi isteri kepaada Suhail. Dia rasa tenang. Dia rasa Allah ada bersama-samanya ketika membuat keputusan itu. Dan dia dapat merasakan itulah keputusan terbaik yang pernah dibuatnya sepanjang hayatnya.

Maka pada dua belas hari bulan dua belas dua ribu dua belas, sahlah Sakinah binti Ismi menjadi isteri kepada Ahmad Suhail bin Lebai Mat dengan mas kahwin berupa senaskhah quran prakata dan sehelai sejadah tenunan Turki. Terketar-ketar tangan Sakinah ketika Suhail mahu menyarungkan cincin emas putih bertakhtakan berlian pada jari Sakinah. Berpeluh-peluh dahinya ketika mahu bersalaman dengan Suhail. Itulah pertama kali dalam hidupnya dia memegang tangan lelaki yang bukan dalam kalangan ahli keluarga sedarah dan sedaging. Suhail hanya tertawa melihat keletah Sakinah. Walhal dia juga boleh tahan cemas ketika itu!

Majlis walimatul ‘urus Sakinah dan Suhail dilaksanakan dengan penuh sederhana di rumah banglo dua tingkat milik Tuan Haji Ismi. Ruang tamu dihias cantik dengan kerusi panjang sebagai ganti kepada pelamin. Beberapa buah khemah didirikan di sekitar dan sekeliling rumah sebagai tempat para jemputan menjamu selera. Yang paling menonjol adalah pintu gerbang yang tertulis dengan ‘SS’ sebagai simbol ikatan chenta Sakinah dan Suhail. So sweet. Sayang selamanya. Superb sangat. Ah apa-apa lah.

Bukan Tuan Haji Ismi tak mampu untuk berikan majlis yang gilang-gemilang untuk Sakinah. Kalau nak tempah satu hotel pon lebih dari mampu. Tapi itu bukan cara Tuan Haji Ismi. Dan dia yakin, itu bukan juga cara yang dianjurkan Islam. Cukuplah sekadar membuat majlis untuk menguar-uarkan pernikahan anak gadisnya itu. Tuan Haji Ismi malah menjemput anak-anak yatim daripada beberapa buah rumah anak yatim untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan Sakinah dan Suhail.

Awal-awal dahulu, mereka tinggal di rumah Tuan Haji Ismi, sementara Sakinah mahu menyudahkan tesis Ijazah Sarjananya. Selepas itu, mereka berpindah ke rumah sewa yang akan lebih memudahkan Suhail untuk ke tempat kerja. Walaupon berat Sakinah mahu meninggalkan rumah tempat dia membesar, Sameon kucing Parsi gebunya dan Wildati bibik yang telah bersama-sama dengan keluarganya sejak dia kecil lagi, dia tahu itu adalah yang terbaik untuk dirinya dan al-baitul muslim yang didirikannya. Sampai bila dia mahu duduk di bawah ketiak abi dan umminya kan?

Mula-mula memang mencabar. Sungguh mencabar. Ada sahaja yang tidak kena. Tinggal berdualah katakan, tiada orang ketiga yang mahu mendamaikan. Selipar yang tidak bersusun. Lantai yang berhabuk. Rak yang berdebu. Pinggan yang tidak bercuci. Sampah yang tidak dibuang. Ada sahaja sebab untuk bergeser. Ada sahaja alasan untuk bertelingkah. Syaitan memang sentiasa ada, menunggu-nunggu di balik pintu dan belakang jamban, menanti-nanti peluang untuk membisikkan api permusuhan dan badai pergaduhan.

Namun kesabaran Suhail banyak menyelamatkan keadaan dan mengendurkan ketegangan. Suhail yang banyak mengalah dalam banyak keadaan. Ada berguna juga dia berguru dengan ramai ikhwah yang sudah berBM beberapa minggu sebelum mengikat tali pernikahan dengan Sakinah. Lain ikhwah, lain tips dan nasihat yang diberikan. Namun ada satu nasihat yang sama yang dititipkan oleh semua ikhwah yang ditemukannya; banyakkan bersabar. Dan itu jugalah yang selalu dia praktikkan. Alhamdulillah ia berkesan.

Lama-kelamaan, bibit-bibit kemesraan antara Sakinah dan Suhail itu mula muncul. Taaruf yang mendalam antara mereka melahirkan persefahaman yang jitu. Dan persefahaman yang jitu pula akan menatijahkan kasih-sayang dan rasa chenta yang tulus dan mulus. Ewah.

Keputusan untuk tinggal berasingan dari keluarga Sakinah adalah keputusan yang tepat sekali sementelah ia menjadikan mereka lebih berdikari dan untuk itu, mereka perlu saling membantu dan mempercayai.

Kemesraan dan kebahagiaan rumah tangga yang dibina semakin terasa hangatnya apabila Sakinah kini mengandungkan anak mereka yang pertama. Janin yang baharu berusia 2 bulan setengah itu merapatkan lagi hubungan mama dan papanya. Bakal anak yang belum diketahui jantinanya itu telah mengukuhkan lagi ikatan janji setia antara Sakinah dan Suhail dan menjadikan mereka lebih memaknai erti sebuah al-baitul muslim.

***

Sakinah senang menjadi suri rumah tangga begitu. Dia punya banyak masa lapang untuk dimanfaatkan. Sama ada untuk kerja-kerja rumah atau hal-hal peribadi seperti membaca atau berjumpa dengan akhawat dan hadek-hadek kesayangannya. Dia merasakan rumah tangganya lebih terurus apabila dia tidak bekerja. Pakaian tidaklah berlonggok tidak bercuci dan berjemur. Rumah sentiasa kemas dan bersih. Dan yang paling penting, dia dapat memasak hidangan untuk dijamah suaminya yang terchenta.

Sakinah bolehlah dikira sebagai seorang wanita tradisional yang terperangkap di dalam kehidupan dunia yang moden. Ketika ramai wanita di luar sana yang sibuk mahu menaiki tangga korporat dan menjadi usahawan berjaya, Sakinah lebih senang duduk di rumah menjadi isteri yang menguruskan hal ehwal rumah tangga. 

Dia malah sedang berkira-kira mahu terima atau tidak apabila ditawarkan tempat mengajar nanti. Apatah lagi dia kini sedang berbadan dua. Apa-apa pon pandangan Suhail tetap akan dijadikan panduan utama. Entah mengapa sejak bernikah, segala-galanya mesti mahu dirujuk pada suaminya itu. Hatta soal nak beli beras jenama apa dan telur gred apa pon mahu dirujuk pada Suhail. Dia seperti tidak boleh hidup tanpa Suhail. Suhail adalah segala-galanya buat Sakinah. Kadang-kadang rimas juga Suhail dibuatnya. 

Hari ni aku nak masak lala sweet sour lah. Suhail mesti suka!

Sakinah tersenyum sendiri. Suhail adalah seorang lelaki yang sangat manis orangnya. Dia tidak pernah mengeluh akan perihal masakan Sakinah. Dia sentiasa memuji dan menghargai apa sahaja air tangan Sakinah.

Suhail juga kuat mengusik. Ada sahaja gurauan dan senda-guraunya. Ada sahaja serprais yang dibuatnya. Otaknya memang licik dan bergeliga. Pernah suatu hari ketika sedang makan, Suhail buat muka seolah-olah ada rasa yang pelik di dalam mulutnya. Apabila Sakinah bertanyakan apa yang tidak kena, Suhail mengajak Sakinah untuk merasakannya sendiri. Rupa-rupanya Suhail hanya mahu menyuapkan makanan pada mulut isterinya itu!

Ah manis!

Sakinah paling ingat usikan manja Suhail yang satu ini. Sakinah pernah bertanyakan pada Suhail, apa yang menyebabkan Suhail bersetuju untuk bertaaruf dengannya semasa proses BM dahulu. Jawapan Suhail? 

"Entah. Mungkin sebab sebelum tu setiap kali dalam sujud atau selepas solat, abang selalu berdoa, 'Ya Allah, Kau kurniakanlah aku dengan seorang isteri yang bakal memberikan sakinah dan mawaddah ke dalam kehidupanku.' Tengok-tengok betul-betul Allah hantar Sakinah dalam borang BM tu. Abang pon apa lagi, setuju je lah! Hehe."

Sakinah sangat bersyukur Allah telah mempertemukannya dengan Suhail. Dia merasakan Suhail benar-benar melengkapkan dirinya. Seolah-olahnya hidup Sakinah sebelum itu tidak sempurna sehinggalah Suhail hadir di dalam hidupnya. 

Terima kasih Allah. Terima kasih, untuk nikmat-Mu ini. 

bersambung...

-gabbana-

Nama dan watak-watak di dalam cerpen ini tiada kena-mengena dengan yang hidup atau yang mati. Ia hanyalah rekayasa dan imaginasi penulis yang gila-gila dan kadangkala gila. Eh. 

10 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 29/05/2015, 15:44  

nasik lemak sambal kerang ye bukan sambil...heheh...*saje nak betulkan je.:) pisss...

anonimouse 29/05/2015, 16:52  

slm en. APG.

nak cadangkan utk inche gabana tulis cerpen y watak utamanya seorang akhowat tapi datang dari keluarga y bukan ikhwah akhowat pula boleh? sbb kalau watak utama mcm sakinah dlm cerpen ni, xdpt nk direlatekn dgn kehidupan sgt. sbb sy agak xramai akhowat y dtg dri keluarga ikhwah akhowat. mungkin klu inche tulis cerpen y wataknya ikhwah/akhowat y berasal dri keluarga muslim y biasa2, mungkin boleh bagi semangat atau motivasi kpd mereka di luar sana y bkn anak ikhwah akhowat or mereka y berasal dari keluarga atau di didik dgn agama dri kecil shj y boleh terjebak dlm dnt. mereka juga boleh jadi baik mcm sakinah walaupun keluarga mereka tak sehebat keluarga sakinah.

WA

mr tom riddle 29/05/2015, 18:32  

Perghh. Suwit giler gaya penceritaan... :)

Anonymous 29/05/2015, 21:15  

Eh kejap. Bukan ke MTS Tanah Merah tu semua perempuan ke? MTAQ Pulai Chondong baru lelaki. Err Syurabil tu lelaki kan? 'Sokay ^^ btw, cerita ni best. Tak sabar nk tunggu sambungannya.

Unknown 30/05/2015, 10:29  

Siapa yang kelima sebenarnya ni? Sakinah ke Solehah? :)

enonimus 30/05/2015, 18:17  

slm.

nk request inche gabana bt cerita y wataknya seorang akhowat tp bukan dari keluarga ikhwah akhowat atau keluarga y menekankan pendidikan agama sgt seperti keluarga Sakinah. mungkin boleh memberi motivasi kpd akhowat di sana y tidak mempunyai latar belakang keluarga y perfect macam Sakinah utk tidak merasakan inferior? klu watak utama mcm Sakinah y keluarga baik, cemerlang dlm agama, anak ikhwah akhowat, sejak dari kecil dah kenal dgn tarbiyah dan dakwah, mungkin ada y akn berfikir, "dia dah kenal dnt dri kecil lg, keluarga pn hebat2 je, sebab tu boleh jd hebat jgk.."

wallhu'alam.. sekadar pandangan seposen dari sy.

Fauzan Ahmad 01/06/2015, 07:52  

peh, romantis :)

yurina 03/06/2015, 11:07  

Assalam. haha. suka suka. sweet sawit seyy. tak sabau nak baca sambungan :D

Unknown 03/06/2015, 23:44  

Sweet😊

Anonymous 05/06/2015, 09:31  

mengapa cerita ini ?

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP