19 May 2015

Ukhuwwah Dahsyat Yang Luar Biasa

[Kredit]

Sekiranya saya berbicara tentang itsar (Baca: Ith-sar) yakni tingkatan tertinggi* di dalam ukhuwwah itu, pasti akan kisah yang femes ini pertama sekali yang akan menerjah minda anda.

*Imam Hasan al-Banna membahagikan tahapan ukhuwwah kepada tiga- tahapan pertama yakni yang paling asas adalah salamatus sadr (berlapang dada); tahapan kedua adalah musawah iaitu menchentai orang lain sepertimana menchentai diri sendiri dan tahapan tertinggi, itsar, melebihkan orang lain berbanding diri sendiri.

Ya, kisah tiga orang sahabat ridhwanu ‘alaih yang di ambang syahid di dalam peperangan Yarmuk. Kisahnya seperti yang diulang tayang kepada kita tanpa rasa bosan dan jemu, menceritakan bagaimana seorang pembawa air (ala-ala PBSM kot) mendekati seorang perajurit yang cedera parah untuk diberi minum. Ketika perajurit itu mendekatkan bibirnya pada muncung bekas air, dia terpandang kepada seorang sahabat lain yang juga ketika itu cedera parah.

(Untuk mengelakkan kekeliruan, kita namakan mereka ini sahabat Aliff, Baa dan Taa.)

Maka sang sahabat A yang mulia menyuruh si pembawa air memberi minum kepada sahabatnya B, atas dasar ukhuwwah bunga daffodil mekar di taman yang suci. Si pembawa minum akur. Ketika dia sampai kepada sahabat B dan mahu memberinya minum, sahabat B terpandang pula sahabat C yang ketika itu juga sedang terlantar kesakitan, cedera parah akibat luka-luka peperangan. Maka sahabat B dengan penuh ihsan dan kasih meminta si pembawa air menyegerakan urusan untuk memberi minum kepada sahabat C yang dirasakannya lebih layak dan memerlukan.

Arakian berlarilah si pembawa minum kepada sahabat C, hanya untuk mendapati sang sahabat telah pon syahid menemuiNya. Lantas bergegaslah si pembawa minum ke sahabat A, sahabat yang mula-mula tadi, juga mendapati sahabat A telah pergi meninggalkan bumi yang fana’ ini. Dan ketika si pembawa air berlari-lari untuk mendapatkan sahabat B pula, dengan harapan masih sempat untuk memberinya minum, dia juga bersaksi bahawa sahabat B telah kembali ke pangkuanNya yang Maha Kasih lagi Maha Chenta.

Menurut riwayat Ibnu Sa’ad dalam ath-Thabaqat** dan Ibnu Abdil Barr dalam at-Tamhid, tiga orang sahabat bertaraf Super Saiya ini adalah Ikrimah bin Abu Jahal, Harits bin Hisyam dan Suhail bin Amr radiyallahu anhum ajma’in. Sungguh mereka redha dengan Allah dan Allah juga redha dengan mereka.

**Ibnu Sa’ad menyebut Ayyash bin Abi Rabi’ah sebagai ganti kepada Suhail bin Amr

Inilah kisah ukhuwwah lejen yang seringkali sampai ke telinga kita dalam membicarakan betapa para sahabat ini sangat menchentai saudara-saudaranya yang lain sehinggakan mendahulukan mereka berbanding dengan keperluan dan kepentingan sendiri.

Namun ada sesuatu yang lebih dahsyat daripada sekadar mengetahui pengorbanan mereka yang mendahulukan antara satu sama lain dek rasa chenta agung keranaNya. Fakta yang sekiranya kita benar-benar hayati pasti akan membuatkan kita ternganga. Hakikah yang andai kita Imani dan fahami, akan menjadikan kita lebih memaknai kisah itsar ini.

Kerana ia kisah yang benar-benar luar biasa.

Sekiranya anda perhatikan dan kaji ketiga-tiga sahabat itu – Ikrimah, Harits dan Suhail – anda akan dapati satu persamaan yang cukup ketara antara ketiga-tiga orang ini.

Ha, cuba teka apakah persamaan mereka ini.

Op op, tak aci lah buka buku seerah. Benda ni patutnya anda dah belajar masa sekolah menengah dulu. Pendidikan Islam skor ‘A’ kan? Eheh.

Kalau anda perasan, ketiga-tiga sahabat ini adalah antara mereka yang lewat memeluk Islam. Ketiga-tiganya menerima Islam selepas pembukaan kota Mekah, kira-kira 22 tahun selepas Nabi diutuskan.

Nah, apa signifikannya fakta ini?

Ikrimah, Harits dan Suhail masing-masing mempunyai kurang lebih setahun bersama-sama dengan Nabi SAW sebagai umat Islam. Mereka jauh tertinggal ke belakang dari segi tarbiyah langsung dari baginda jika mahu dibandingkan dengan para sahabat yang lainnya.

Namun ini tidak menjadikan mereka lelah dan lemah. Hal ini tidaklah menjadikan mereka putus semangat dan putus asa dalam berlumba-lumba di dalam kebaikan. Malah hakikat yang amat pahit untuk mereka telan itu, suatu perkara yang mereka sentiasa sesali selepas keIslaman mereka, menjadikan mereka lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengejar dari belakang.

“Sungguh, andai gunung-gunung di Makkah berubah menjadi emas dan aku sedekahkan semuanya di jalan Allah,” seperti yang pernah dinukilkan oleh Harits bin Hisyam, “Itu tidaklah sebanding dengan satu hari dari hari-hari mereka. Kalau mereka telah mendahului kami di dunia, maka kami harus berusaha menyamai mereka di akhirat.” 

Melihat kepada latar belakang dan sejarah ketiga-tiga sosok ini akan menjadikan kita lebih kagum lagi.

Ikrimah, bersama-sama dengan ayahnya, Abu Jahal, adalah antara penentang utama Rasulullah SAW dan risalah yang dibawa. Meskipon sudah tewas di dalam empat perang (Badar, Uhud, Khandaq dan Fathul Mekah), hal itu tetap tidak dapat melembutkan hatinya untuk menerima Islam. Malah sehingga kota Mekah ditawan dan dibebaskan oleh umat Islam, Ikrimah masih lagi dianggap sebagai musuh numero uno kepada Islam sehinggakan dia termasuk dalam wanted list yang wajib dibunuh sekiranya dijumpai. Begitulah tebalnya kebencian Ikrimah pada Rasulullah SAW dan seruan yang dibawa.

Harits bin Hisyam juga antara pembesar Quraisy yang tegar menentang Islam. Ketika pembebasan kota Mekah oleh umat Islam, dia terpaksa memohon perlindungan dari Ummu Hani’, agar tidak dibunuh oleh umat Islam. Malah sesudah itu pon, dia masih lagi di dalam keangkuhannya, tidak dapat menerima hakikat bahawa taghut dan kufar telah berjaya ditewaskan.

Suhail bin Amr pula, adalah insan yang bertanggungjawab untuk berunding dengan Nabi SAW dalam peristiwa Hudaibiyah, di mana dia dengan tegas dan degilnya tidak mahu perjanjian yang bakal dimeterai itu ditulis dengan nama Allah yang Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Dia juga tidak mahu perjanjian itu ditulis Muhammad SAW sebagai Rasulullah. Hampir-hampir sahaja dia kehilangan nyawa di tangan para sahabat dek kedegilan dan kejelikannya. Begitulah hebat dan tegarnya kebencian dan permusuhannya dengan Islam, sementelah kedua-dua anak lelaki kesayangannya, Abdullah dan Abu Jandal juga sudah memeluk Islam.

Ya, ketiga-tiga orang ini pernah menjadi musuh yang tegar kepada Islam. Ketika ramai dalam kalangan kenalan, sahabat dan ahli keluarga sudah pon berbondong-bondong memeluk Islam, mereka masih di takuk yang lama, terus berdegil, tidak mahu berganjak dari kesesatan dan kekufuran mereka. Sehingga ke hujungnya, mereka masih tegar menjadi penentang dan musuh kepada Islam.

Mujur sahaja mereka sempat ditampar Makcik Hidayah sebelum Malaikatul Maut yang menampar. Sejarah telah pon menjadi saksi, betapa mereka menjadi sebaik-baik manusia selepas keIslaman mereka. Benarlah hadith Nabi SAW:

“Manusia itu ibarat logam; baiknya semasa jahiliyyah, baik juga semasa Islam, sekiranya mereka faham.”

[Hadith riwayat Bukhari]

Keimanan mereka sesudah Islam tidak dapat diragukan lagi. Kesungguhan mereka dalam melaksanakan syariat Islam tidak wajar dipersoalkan. Dan komitmen mereka dalam menegakkan Islam dan menyebarkan risalah suci sudah ternoktah di dalam sejarah.

“Demi Allah, ya Rasulullah, aku akan mengorbankan hartaku di jalan Allah, dua kali lebih banyak daripada harta yang kupakai untuk menghalangimu di jalan Allah sebelum ini,” kata Ikrimah sebagai tanda penyesalannya menjadi penentang nombor satu Islam suatu ketika dahulu. “Dan aku akan berperang di jalan Allah, dua kali lebih banyak daripada peperangan yang telah aku lakukan untuk menghalangimu di jalan Allah sebelum ini.” 

Maka apa yang berlaku di Yarmuk wajar sekali membuatkan kita kagum tahap Otromen Taro. Apa yang disaksikan di Yarmuk adalah sesuatu yang sukar sekali diterima oleh akal biasa. Dan apa yang dirakamkan di Yarmuk adalah sesuatu yang bisa membuatkan kita jatuh kerusi berkali-kali.

Yarmuk menjadi bukti bahawa sesiapa sahaja boleh meraih keredhaanNya asalkan punya keikhlasan dan kesungguhan.

Yarmuk menjadi saksi sejarah dan latar belakang seseorang itu tidak boleh dijadikan hujah untuk menilai masa depannya.

Yarmuk menjadi pentas kepada pengorbanan manusia-manusia Super Saiya yang dahulunya pernah menjadi musuh tegar kepada Islam.

Yarmuk menjadi kanvas yang mengabdikan ukhuwwah sejati yang lebih pekat dari darah, yang lebih utuh dari

Dan Yarmuk menjadi pita perakam yang akan terus-menerus memainkan gambaran kehidupan kepada kita makna itsar dalam erti katanya yang sebenar!

Ini sumpah epik!

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar bahawa sejahat mana pon kita, kejahatan kita tidak mungkin dapat mengalahkan kasih sayang dan rahmat Allah.

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail, kita belajar bahawa tidak ada istilah terlalu lambat untuk kita berubah dan mengejar pelangi bahagia.

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar memaknai kata “Every saint has a past and every sinner has a future.”

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar kadangkala perubahan diri selepas terjatuh ke dalam lubang yang paling dalam dan hitam adalah lebih manis dan bermakna.

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar memaknai erti pengorbanan sehingga ke hujung nyawa.

Dan dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar memaknai ukhuwwah yang benar-benar luar biasa, penuh dengan chenta keranaNya.

Ini dahsyat. Ini benar-benar dahsyat!

-gabbana- 

6 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 19/05/2015, 21:34  

Jazakallah Inche Gabbana. Perkongsian yang amat menarik. Amat malu sebenarnya, terasa diri ini masih sangat jauh dari yang seharusnya seorang muslim contohkan dalam berukhuwah. Moga tulisan ini boleh menjadi pengingat untuk hamba yang masih selalu khilaf.

hazwanshukor15gen 19/05/2015, 23:49  

baru balik dr jaulah ke jordan ke?

Anonymous 22/05/2015, 15:03  

Yarmuk menjadi kanvas yang mengabdikan ukhuwwah sejati yang lebih pekat dari darah, yang lebih utuh dari.....

ada kuiz isi tempat kosong ke, eheh. ok joke sampingan hambar

Anonymous 23/05/2015, 21:50  

Alhamdulillah,

tiap kali baca pasti ada je ibrah yang dekat pada diri.

SN~~
yang dah dekat 7 tahun baca blog nih....

Anonymous 27/05/2015, 10:08  

BEST..BEST...

Anonymous 12/08/2015, 03:31  

Asiif nak tanya. So stick pada suhail b amr atau ayyash? Sebab ada dalam buku 65 sahabat nabi mengatakan suhail wafat disebabkan wabak taun. So cane eh? Jzkk :)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP