21 July 2015

Of 1MDB, Lowyatt and Ramadhan

Saya bukan sosialis. Bila saya cari gambar 'Politician photography', hat ni yang keluar. Nak buat macam mana. Eheh. [Kredit]

Tajuk je kecek omputih. Tulisan masih lagi mengekalkan bahasa jiwa bangsa. Eheh. 

Ehem.

Post ini sepatutnya ditulis dan disiapkan pada akhir Ramadhan yang lalu. Tapi biasalah lah kan, disebabkan oleh sikap bertangguh (Baca: Procrastination), malas, tiada idea dan lain-lain lagi, maka post ini hanya dapat ditulis dan disiapkan pada hari ini.

Pandang kanan, pandang kiri.   

Alhamdulillah seperti yang telah tertulis dan termaktub di Lauh Mahfuz, Ramadhan 1436H telah pon melabuhkan tirainya dan Syawal pula yang menjelma. Maka sudah tentunya, antara perkara yang paling perlu dan relevan untuk kita lakukan pada masa sekarang ini adalah muhasabah Ramadhan. 

Ya, melihat kembali bagaimana Ramadhan yang lepas berlalu, mengambil ibrah daripadanya dan memperbaiki dan menambahbaik mana yang perlu. Tujuannya? Agar kita tidak jatuh ke dalam lubang yang sama buat kedua kalinya.

Dan Ramadhan kali ini lain benar dengan Ramadhan Ramadhan yang sebelum ini. Cukup berbeza. 

Lain yang macam mana tu Inche gabbana? Terawihnya kah? Juadah berbukanya kah? Morehnya kah? Atau bagaimana? 

Ramadhan kali ini cukup berbeza buat umat Islam di Malaysia di khususnya, dek isu-isu panas yang melanda. Tidak cukup dengan satu mahupon dua isu, kita diasak dan digempur dengan bermacam isu yang pada hari-hari yang lainnya, memang tersangat layak menjadi tajuk utama di mukasurat paling hadapan mana-mana akhbar. Kecuali Harian Metro. Eh. 

Menarik sekali jika kita kaitkan dengan isu-isu dan kontroversi dengan firman Allah Ta'ala di dalam Quran, betapa Ramadhan adalah bulan latihan untuk menjadikan kita orang-orang bertaqwa. Sekadar memperingatkan:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa."
[al-Baqarah, 3:183]

Maka bisa jadi, apa yang berlaku sepanjang Ramadhan adalah ujian untuk kita semua, dalam proses menjadikan kita orang-orang yang lebih bertaqwa. 

Ia adalah ujian akhlak; menguji bagaimana akhlak kita dalam mendepani isu-isu sebegini. Ia adalah cobaan adab; mencoba bagaimana kita memaknai adab dalam berhadapan dengan orang-orang yang berkenaan. Dan ia adalah cabaran tingkahlaku dan tuturkata; bagaimana kita menahan diri kita daripada berbuat dan bertutur sesuatu yang bisa membinasakan diri.

Yang menjuarai semua isu dan kontroversi yang ada sudah tentulah isu 1MDB. Kita dihujani dan disuap dengan pelbagai fakta dan auta tentang 1MDB ini, sehinggakan kita sendiri tidak pasti sumber mana yang patut kita percaya. 

Saya amat faham keresahan, kegelisahan dan kemenyampahan yang melanda sebahagian daripada rakyat jelata. Yalah, kita sedang berbicara tentang RM42 bilion dana awam yang sepatutnya diuruskan dengan amanah dan baik oleh 1MDB. Anda tahu banyak mana RM42 bilion itu?

Empat puluh dua ribu juta. Nombor empat puluh dua dengan sembila angka sifar di belakangnya! 

Dengan jumlah yang sama, kita boleh membina sebuah lagi bangunan KLCC (RM8.02 bilion), sebuah lagi KLIA (RM13.3 bilion), sebuah lagi jambatan Pulau Pinang (RM4.5 bilion), membina sepuluh buah hospital (RM6.9 bilion), membeli 3 buah kapal terbang Airbus A380-800 (RM4.88 bilion) dan banyak lagi dan masih lagi ada baki! Walawehhh! 

Guane boh??

Tup tup, kita dikejutkan dengan khabar angin bahawa dana ini telah disalah guna. Bukan sekadar disalah guna, malah dimasukkan ke dalam akaun peribadi pihak tertentu! Ini sudah lebih bro! Ini sudah melampau!

Kebijaksanaan dan kewarasan kita dalam berfikir benar-benar tercabar. Ia merupakan suatu penghinaan kepada kebijaksanaan kita yang pernah mendapat 5A sewaktu UPSR dulu.

Ish tak mungkinlah duit sebanyak itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi? Ish takkanlah dia sebengap itu, kalau ye pon nak buat dajjal, bijaklah sikit! Ish mustahillah ada pemimpin yang sekorup itu. Ish itu dan ish ini. 

Macam-macamlah yang bermain di kepala kita!

Ditambah pula dengan kelembapan dan ke-slow-an tahap siput babi pihak berkuasa dan badan-badan yang sepatutnya tidak berkepentingan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan. Aduh, ini benar-benar menguji keimanan dan kesabaran kita!

Sebagai rakyat marhaen, kita punya hak untuk sekurang-kurangnya tahu hal yang sebenar. Sebagai rakyat yang membayar cukai, tol dan GST, kita punya hak untuk mendapatkan penjelasan tanpa ada sebarang konspirasi untuk menutupnya. Dan sebagai rakyat yang mengundi pada pilihanraya yang lepas, kita punya hak untuk tidak ditipu dan dipermain-mainkan.

Tanpa semua itu sekalipon, sebagai seorang manusia, apatah lagi seorang muslim, kita punya hak untuk mendapatkan keadilan yang sebenar kerana itulah asas perjuangan Islam! Keadilan! 

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biar pun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika aia kaya atau pun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya.  Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah Maha Teliti segala apa yang kamu kerjakan."
[An-Nisaa, 4:135]

(Sila jangan buat spekulasi yang Inche gabbana adalah saorang penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat. Saya cubit perut anda nanti!)

Maka tidak hairanlah, ramai yang bising tentang isu ini. Baik di MukaBuku, Pengicau, blog-blog atau portal media alternatif, ramai yang tidak boleh duduk diam berhadapan dengan isu 1MDB ini. 

Seraya muncullah para hakim dan peguam di MukaBuku yang pantas menjatuhkan hukuman. Muncul juga ostad dan ostajah alam maya yang ghairah dan penuh hamasah berhujah mengeluarkan dalil kezaliman itu wajib ditentang! Tidak cukup dengan itu, lahir ahli-ahli politik baharu yang amat petah berucap dan berbicara (menjadi pahlawan papan kekunci sebenarnya) yang amat diharapkan dapat menang dalam pilihanraya yang akan datang.

Nah, bagaimana akhlak kita sebagai seorang muslim apabila dihimpit dengan isu sebegini? Apa adab kita dalam mendepaninya?  

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa berita, maka telitilah kebenarannya,agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."
[Al-Hujuurat, 49:6]


Kita dianjurkan untuk menjadi orang yang matang dan teliti. Bukannya gopoh dan terburu-buru. Sekuat mana pon dalil dan fakta yang dibentangkan, ketahuilah, kita hidup di zaman yang penuh dengan mehnah dan fitnah. Apa sahaja mungkin terjadi!

Sedangkan video pon orang boleh edit dan manipulasi sehingga kelihatan seperti versi yang asli. Sedangkan sumpah al-Quran pon orang boleh permainkan dan letak di celah gigi. Sedangkan gambar dan foto pon boleh diphotoshop sehingga tidak ada was-was dan keraguan lagi. 

Hmm. 

Ayuh kita hayati beberapa firman Allah tentang kewajipan untuk kita berlaku adil:

"...Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil."
[Al-Maidah, 5:42]

"Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan."
[Saad, 38:26]

Bukan suruh kita berdiam diri! Bukan suruh kita rilek goyang kaki! Bukan juga suruh kita hisap rokok sebatang dua berasap berapi. Tapi suruh kita untuk berlaku adil! 

Apa makna adil? Tidak berlaku zalim. Apa makna zalim? Meletakkan sesuatu BUKAN pada tempatnya. Maka makna lain bagi adil adalah MELETAKKAN SESUATU PADA TEMPATNYA! 

Berlaku adillah dalam menerima, memproses dan menganalisa berita-berita yang kita terima. Pastikan kita membaca dari kedua-dua belah pihak. Berikan ruang dan peluang yang wajar kepada mereka yang terlibat untuk memberikan penjelasan. Kaji semua fakta yang ada dengan saksama. Teliti semua sumber maklumat dan pastikan ia benar-benar sahih. Hanya selepas itu, baharulah dikira sejahtera untuk kita membuat sebarang keputusan pemikiran.  

Di hujung-hujung Ramadhan kita dikejutkan pula dengan isu #LowYatt. Aduhai. Tidak perlulah saya menceritakan apa yang berlaku secara terperinci di sini kerana saya yakin anda semua sudah tahu apa yang berlaku. 

Tetapi apa yang berlaku benar-benar menjadi muhasabah kepada kita semua. Sekali lagi, kita lebih memaknai firman Allah yang Maha Mulia di dalam surah al-Hujuraat seperti yang tersebut di atas.

Ya Allah! Bukanlah Allah sedang bercakap tentang kita? Bukankah ayat-ayat chentaNya ini sedang menempelak kita? Mencucuk jantung kita dengan jarum dan duri yang paling tajam? 

Berapa ramai daripada kita yang pantas berkongsikan status-status MukaBuku dan waksep yang belum disahihkan kebenarannya tentang isu #LowYatt? Berapa ramai daripada kita yang terus melontarkan komen-komen penuh amarah syaitonirojim tanpa sebarang usul periksa? Berapa ramai daripada kita yang terlanjur kata, menghamburkan kata-kata kesat dan bobrok yang sekiranya dibaca oleh anak cucu kita nanti, kita akan malu kerananya?

Tidak cukup dengan itu, Allah ingatkan kita lagi di dalam firmanNya yang agung:

"Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.  Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

 [Al-Maidah, 5:8]

Aduh!

Rasa macam ditampar-tampar! Rasa macam ditumbuk-tumbuk! Rasa macam dipiat telinga!

Sekali lagi kita diingatkan untuk berlaku adil!

Ya mereka itu kafir! Mereka itu tidak semulia kita umat Islam! Mereka itu minum arak dan makan babi! Mereka itu main judi!

Tetapi itu semua tidak memberi lesen kepada kita untuk berbuat sesuka hati kita! 

"Dan janganlah sekali-sekali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil!"

Bukan nak suruh kita menyerah kalah! Bukan nak suruh kita tunduk bodoh begitu sahaja! Bukan nak suruh kita jadi lembu dicucuk hidung! Tidak!

Tapi berhati-hatilah sebelum membuat tuduhan. Siasat dan periksa terlebih dahulu. Pastikan maklumat yang ada sahih dan tepat. Jangan dituruti sangat emosi dan nafsu itu!

Kalau bukan kita, khairul ummah ini, yang boleh diharapkan untuk berlaku adil, siapa lagi? Kalau kita ummatan wasoto ini, yang dibebankan dengan amanah syahadah al-haq pon amat cepat dan melulu menghukum, siapa lagi yang manusia lainnya boleh harapkan?

Lepas tu kita bising yang dakwah kita tidak menjadi. Kita komplen risalah yang kita perjuangkan sukar sekali untuk diterima. Kita membebel dakwah kita cukup payah menembusi non-muslim. Alahai. 

Apa yang berlaku benar-benar menjadi muhasabah buat kita semua. Usah menuding jari. Usah mencebik bibir. Usah mengerut dahi. Ia benar-benar suatu tazkirah untuk kita semua, umat yang kononnya paling mulia di muka bumi ini!

Memikirkan pula semua ini berlaku di dalam bulan Ramadhan! Allah Allah!  

Geleng kepala. 

Dan banyak lagi isu-isu lain yang cukup menggarukan kepala. Belum masuk lagi isu #SayaZahra. Belum lagi dikira kontroversi yang berlegar seputar Gerakan Harapan Baru. Meletuplah belog ini jika saya memberikan komentar tentang itu. Eh.

Cukuplah dua isu ini saya sentuh dalam penulisan kali ini. Kerana saya merasakan kedua-dua isu mempunyai impak yang boleh tahan signifikannya kepada Ramadhan saya yang lepas. Nak pulak isu #LowYatt ini meletop di fasa akhir bulan Ramadhan. Orang sibok nak habiskan tilawah dan tadabbur Quran, tapi fokus lari kepada portal-portal berita tempatan kerana ghairahnya nak tahu hapdet yang terkini. Bulan yang sepatutnya membentengi kita daripada perbuatan dan kata yang sia-sia, akhirnya dicemari dengan caci-maki dan gosip-mosip tentang dua isu ini. Alahai alahai.

Sayalah; saya tahu anda semua baik-baik dan bagus-bagus orangnya, betul-betul fokus dalam mengejar fadhilat Ramadhan dan lailatul qadr! Alhamdulillah!  

Maka kembali kepada persoalan yang saya lontarkan di awal penulisan ini; adakah Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada Ramadhan Ramadhan yang sebelumnya? Adakah ia berjaya mentarbiyah kita menjadi orang yang bertaqwa? Atau bagaimana? 

Kedua-dua isu yang saya sentuh amat berkait dengan keadilan. Mengapa? Kerana "...adil itu lebih dekat kepada taqwa."

Nah, sekarang anda dapat lihat permainannya bukan?

Di sebalik semua keserabutan ini, di sebalik semua kekekelam kelibutan ini, di sebalik semua haru-bitu ini, sebagai orang-orang yang beriman, kita masih punya harapan. Bahawa sesungguhnya, kebenaran itu pasti akan tersingkap jua. Jika kita tidak berpeluang untuk menyaksikannya di dunia ini sekalipon, ketahuilah, akhirat itu ada. Tiada siapa yang dapat lari dan bersembunyi dari mahkamah keadilan Allah!

Dan perbanyakkan doa, agar Allah kuatkan hati kita semua dan pandu dan bimbing kita agar kita sentiasa berada di atas jalan kebenaran. 

Beramallah dengan doa yang cukup pawer ini:


اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا

اجْتِنَابَهُ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين

Ya Allah! Tunjukkan kami kebenaran dengan kebenaran dan kurniakan kami kekuatan untuk mengikutinya. Dan tunjukkan kami kebatilan dengan kebatilan, dan kurniakan kami kekuatan untuk menjauhinya, dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.


Wahai Allah! Tunjukkanlah kami jalan yang lurus! [Kredit]

Moga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa bersama kebenaran.

Moga kita termasuk dalam kumpulan yang sentiasa berlaku adil dalam setiap perkara. 

Dan moga Allah pertemukan kita dengan Ramadhan yang berikutnya, agar dapatlah kita perbaiki dan menambahbaik kelemahan dan kekurangan yang ada pada Ramadhan yang lalu. 

Amin, ya robbal a'lamin.

-gabbana-

Begitu banyak yang ingin saya coretkan. Begitu banyak pula yang ingin saya ulas dan kupas.

Tetapi cukuplah sekadar ini. Lebih banyak yang saya katakan, lebih banyak pula amanah yang dipertanggungjawabkan.

Moga Allah redha!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP