8 July 2015

Persediaan Berdating Dengan Makcik Laila

[Kredit]

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengijinkan kita untuk melangkah masuk ke fasa akhir bulan Ramadhan untuk tahun ini. Di sebalik segala dosa, maksiat dan kemungkaran yang telah dan pernah kita lakukan, Allah masih lagi bermurah dan berbesar hati untuk menjemput kita masuk ke dalam sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadhan. 

Nah, masuk sahaja fasa akhir bulan Ramadhan ini, pasti yang sering berlegar-legar di kepala kita adalah upacara memburu malam yang lebih baik dari seribu bulan, Lailatulqadr. Atau dalam bahasa yang lebih indie, memburu Makcik Laila dan Pakcik Qadar. Eheh. 

Saya percaya, ramai daripada kita yang tertanya-tanya, apakah tips dan panduan untuk terpilih berdating dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar kan? Memandangkan ramai daripada kita ini yang baharu sahaja berjinak-jinak dengan tarbiyah dan baru belajar nak jadi baik, wahahaha, maka ramailah yang belum lagi berpeluang untuk bertemu dan merasakan sendiri kehaibatan bertemu dengan tetamu istimewa Ramadhan ini.

Di sini saya kongsikan empat belas tips pawer yang telah ditulis oleh Syaikh Tawfique Chowdhury, seorang pendakwah dan aktivis Islam yang boleh tahan popular lah juga, yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang lebih mudah difahami dan sudah tentu lebih bergaya. Eheh. 

Walaupon mungkin sedikit terlambat sebab sudah dua malam terlepas, tapi inshaAllah masih ada manfaatnya. Dan ada kemungkinan Makcik Laila masih bermekap dan Pakcik Qadar sedang bersiap lagi tu. Wahaha.

Baiklah. 

Empat Belas Tips Pawer Untuk Sepuluh Malam Terakhir
- Oleh Syaikh Tawfique Chowdhury


Tips 1
Jangan biarkan prestasi anda untuk dua puluh hari yang sebelum ini mempengaruhi sepuluh hari yang terakhir. Pengampunan Allah boleh datang hari ini atau bila-bila masa sahaja dalam hari-hari yang berikutnya! Anda tidak kerugian apa-apa! Sekiranya anda benar-benar berharap yang anda sepatutnya boleh buat lebih baik lagi - bersiap-siaplah dan bersedia untuk berikan yang terbaik! Mulakan dengan niat yang positif dan ikhlas!

Tips 2
Hari ini, luang sedikit masa untuk membaca tafsir surah al-Qadr untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku pada malam tersebut! Anda akan dapat lebih merasakan kepaweran dan kehebatannya!

Tips 3
Jangan tunggu sehingga malam keduapuluhtujuh untuk bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik. Sepuluh hari terakhir ini sepatutnya menjadi sasaran anda. Berjagalah setiap malam! Adakah anda mahu terlepas daripada berdating dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar secara tidak sengaja? Alahai. 

Tips 4
Jangan terikut-ikut dengan bidaah/sambutan yang cuba dianjurkan oleh sesetengah mesejid atau adat tertentu. Ikutilah sunnah! Rasulullah SAW telah menasihatkan kita, "Barangsiapa yang berjaga malam dan mendirikan solat pada malam al-Qadr (Lailatulqadr) dengan penuh keimanan dan harapan, semua dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan."

Tips 5
Hafal dan ulang doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, "Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibb al-‘afwa fa’affu ‘anni." Maksudnya: Wahai Allah, Engkau Maha Pengampun dan amat suka mengampunkan, maka ampunilah aku.

Tips 6
Sediakan senarai pendek doa. Ingat, ini adalah peluang yang teramat osemness yang boleh didapati oleh seorang hamba Allah! Malam al-Qadr, suatu takdir! Pilih dengan cermat dan teliti doa-doa yang amat anda butuhkan untuk dunia, agama, keluarga dan akhirat! Jangan lupa untuk doakan juga saudara-saudara kita di seluruh dunia yang hidup dalam kesengsaraan dan kesusahan!

Tips 7
Sekiranya boleh, tidur sekejap di siang hari. Jangan bebankan perut anda dan tidur sebaik sahaja anda tunaikan solat Ishak. Jangan bertangguh! Usai lena yang sebentar, segarkan diri anda dan bersiap-sedia untuk beribadah. 

Tips 8
Jangan abaikan keluarga anda! Rasulullah SAW sentiasa akan memastikan untuk mengejutkan isteri-isterinya pada malam-malam terakhir ini. Dan ya, anak-anak anda tidaklah terlalu muda untuk berjaga pada sebahagian malam - sekiranya mereka dijinkan untuk bermain game atau menonton TV, mereka juga boleh digalakkan untuk berjaga malam untuk beberapa ketika! Siap-sediakan mereka, jadikan mereka teruja dan rancang aktiviti untuk mereka lakukan!

Tips 9
Jangan lupa bahagian ini: Cara kita berpakaian dan bersiap-sedia mempunyai kesan yang besar pada psikologi kita. Pakailah pakaian yang terbaik, wangikan diri dan rasakanlah tenaganya! 

Tips 10
Pilih satu tempat, sama ada di mesejid atau di rumah anda, yang mana anda dapat bersendiri dan merasakan ketenangan. Sediakan mushaf, tikar sejadah dan air minum supaya anda tidak terganggu kerana asyik mahu bangun mengambil itu dan ini.

Tips 11
Ini bukan malam untuk berkicau gambar atau menghapdet status MukaBuku tentang betapa hebatnya malam itu dan bagaiaman perasaan anda dan ibadah anda ketika itu! Biarkan ia menjadi rahsia antara anda dan Tuhan! Maka tutup telefon, wifi, laptop dan komputer. Putuskan talian dengan dunia dan sambungkannya dengan al-'Afuww!
 
Tips 12
Sekiranya anda mengantuk, pelbagaikan cara anda beribadah. Gantikan antara qiam, doa yang bersungguh dan membaca al-Quran. Jangan habiskan malam itu dengan mendengar ceramah atau bacaan al-Quran (radio, henpon, mp3 dll - pent.). Atau dengar untuk tempoh yang sebentar sahaja apabila rasa mengantuk itu datang menyerang!

Tips 13
Sabar adalah kuncinya: Sepuluh hari yang terakhir mungkin meletihkan. Anda mungkin masih perlu bekerja atau ke sekolah. Inilah masanya untuk menanggung segala kepayahan dan tetap bersabar. Fikirkan bagaimana Allah telah merahmati anda dengan peluang hebat ini yang MUNGKIN TIDAK akan datang lagi. Jika anda tahu dengan pasti yang ini adalah Ramadhan terakhir anda, jika anda tahu dengan pasti yang sorga itu sudah tersedia untuk anda, anda pasti akan memecut laju dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya bukan?

Tips 14
Yang paling penting sekali: Bersangka baiklah dengan Allah. Apabila anda berdoa dan meminta, ingatlah yang anda sedang meminta dari Raja Yang Maha Pemurah. Sekiranya anda mengharapkan yang terbaik, Dia pasti akan berikan yang terbaik. Jangan teragak-agak. Letakkan kepercayaan anda kepada-Nya, curahkan segala isi hati anda di hadapan-Nya dan jangan biarkan sebarang keraguan, penghalang dan pemikiran jahat menjauhkan anda dari ar-Rahman, ar-Raheem!

Wahai Allah, sampaikanlah kami kepada Lailatulqadr! 

Ok sampai situ sahaja perkongsian oleh Syaikh Tawfique. 

Hebat dan mengujakan bukan?

Lebih hebat dan mengujakan sekiranya kita berazam untuk bersungguh-sungguh beramal dengannya!

Ayuh bersiap-siaga, siapkan diri kita untuk bertemu dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar, yang hanya datang menyinggah sekali sahaja dalam setahun! Tahun hadapan belum tentu lagi kita masih ada di dunia yang fana ini!

Ayuhhh!

Itu pon kalau kita masih belum terlepas lah. Kuikuikui.

-gabbana-

Saya harap terjemahan saya does justice untuk perkongsian yang asal. 

Jika tidak, matilaaah. Gulp. 
 

3 Caci Maki Puji Muji:

Masa 08/07/2015, 12:11  

alhamdulillah. terima kasih atas perkongsian. moga kita sempat bertemu makcik laila dan pakcik qadar :'D

Kila Kalisya 08/07/2015, 23:42  

Perkongsian yang baik dan bermanfaat. Syukran~ : D

Linakhtar 11/07/2015, 08:50  

Perkongsian yg baik dan boleh di viral2 kan... thanks atas ilmu ni.... mommylina tinggalkan jejak kat sini untuk follow entry seterusnya

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP